Pandu Uji dan Ulasan Yamaha NMAX (2025)

Yamaha NMAX adalah salah satu skuter 150cc yang paling popular, dan kelihatan di mana-mana sejak pelancarannya di Malaysia pada 2016. Sejak itu, ia telah dikemaskini hingga ke tahap sekarang, Yamaha NMAX (2025).

NMAX popular kerana ciri-cirinya yang mudah, mesra pengguna, ringan dikendalikan, dan prestasi enjin yang agak baik terutamanya bermula versi kedua. Selain itu, terdapat juga kemudahan yang ditawarkan oleh skuter iaitu ruang penyimpanan di bawah pelana yang agak besar.

Namun, kami tidak boleh mengabaikan isu yang begitu ketara, iaitu cabaran daripada skuter-skuter China yang mempunyai reka bentuk futuristik, lebih banyak peralatan elektronik, dan ditawarkan pada harga yang lebih rendah.

Jadi, dapatkah NMAX mempertahankan kedudukannya?

Apakah Yamaha NMAX (2025)?

Motosikal ini berada dalam segmen skuter automatik ‘twist-and-go’ 150-160cc. Segmen ini amat kompetitif di  kalangan pengeluar dan pengedar, kerana ianya paling mampu milik untuk orang ramai.

Berbanding model sebangsanya, Yamaha NVX, NMAX dipasarkan sebagai varian yang lebih utiliti dan mesra, manakala NVX ialah skuter ‘sporty’. Oleh itu, NMAX menawarkan lebih banyak ruang penyimpanan dan keselesaan.

Ciri-ciri utama
  • Model 2025 menampilkan reka bentuk lampu depan dan belakang yang baharu berbanding model sebelumnya. Reka bentuk baharu ini menjadikan skuter tersebut kelihatan lebih ‘sporty’ dan futuristik.
  • Versi Malaysia tidak sama dengan Yamaha NMAX “Turbo” yang dilengkapi ciri Yamaha Y-Shift yang sedang dijual di Malaysia.
  • Enjinnya kekal sebagai enjin Blue Core, penyejuk cecair, 155cc, satu silinder, SOHC, 4 injap dengan VVA (variable valve actuation). Ini adalah enjin yang sama seperti yang digunakan pada model NVX dan Y16ZR.

  • Ia menghasilkan 15.2 hp (11.3 kW) pada 8,000 RPM dan tork 14.2 Nm pada 6,500 RPM.
  • Transmisi yang digunakan ialah CVT (Transmisi Terus Berubah), dengan pacuan akhir menggunakan tali-sawat.
  • Beralih kepada bahagian casis, suspensi hadapan terdiri sepasang fork teleskopik yang dikemaskini, manakala bahagian belakang disokong oleh sepasang penyerap hentakan.
  • Tugas brek dikendalikan oleh cakera tunggal 230mm, di hadapan dan belakang.

  • ABS dwi-saluran merupakan ciri standard.
  • Ciri-ciri elektronik termasuk skrin LCD tunggal bersaiz besar dengan ciri Y-Connect; sistem penghidup tanpa kunci, fungsi henti enjin semasa berhenti (‘idle stop’), port pengecasan USB, serta pencahayaan LED.
  • Tinggi tempat duduk disenaraikan sebagai 775mm.

  • Ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang lebih besar, kini pada 25 liter.
  • Tangki bahan api mempunyai kapasiti 7.1 liter.
  • Yamaha mendakwa bahawa motosikal ini mempunyai berat basah 131 kg.
Pengalaman menguji Yamaha NMAX (2025)

Apabila menaikinya, kami mendapati ergonomiknya masih sama dengan model-model sebelumnya, dengan badan dan tempat duduk yang tirus, jarak dekat ke hendal, serta tempat duduk yang rendah. Kaki kami terletak dengan selesa di atas papan lantai di kedua-dua belah, dengan ruang yang lebih daripada cukup untuk menggerakkannya.

Span pelana terasa lembut dan selesa, walaupun kami tidak dapat mengingati sama ada ianya sama seperti sebelumnya. Terdapat ruang yang mencukupi untuk bergerak ke hadapan dan belakang, di samping ruang yang baik untuk penumpang kedua.

Hendalnya sempit dengan sudut stereng yang luas, dan ini amat baik untuk menunggang di dalam kesesakan trafik.

Membuka tempat duduk mendedahkan ruang penyimpanan yang lebih besar, dan boleh memuatkan sebuah beg sandang berserta komputer riba 15 inci di dalamnya. Walau bagaimanapun, beg tersebut seolah-olah ‘terapung’ meninggalkan lebih ruang di bawahnya untuk baju hujan dan kasut. Malangnya, kami cuba menyimpan helmet jenis jet tetapi tidak berjaya. Namun, ia mungkin boleh memuatkan helmet jenis MS88.

Enjinnya hidup dengan pantas setiap kali, sambil mengeluarkan bunyi yang biasa bagi mana-mana skuter satu silinder. Ia juga berputar laju dengan agak pantas, tetapi tanpa sebarang bunyi kasar.

Membuka pendikit menyebabkan skuter memecut dengan lancar tanpa hejutan kuat seperti NVX. Malah, gabungan enjin dan CVT memberikan respons yang sangat lancar sepanjang julat putaran enjin. Menutup pendikit secara mendadak tidak menyebabkan motosikal tersebut perlahan secara mengejut, atau sebaliknya, meluncur ke depan seolah-olah anda tersilap memasukki neutral pada motosikal transmisi manual. Ini menunjukkan Yamaha telah melakukan tugas yang cemerlang dalam mengimbangi pemberat ‘roller’ dengan ciri-ciri tork enjin.

Dengan itu disebut, enjin memang memberikan ‘oomph’ yang banyak ketika dipacu pada kelajuan lebuh raya. Ia terus memecut (walaupun secara lancar) sehingga ke kelajuan maksimumnya hampir 130 km/j tanpa rasa seperti enjin akan meletup. Begitu juga, membuka pendikit dari 80 km/j menyebabkannya memecut dengan rancak tanpa kehabisan nafas – hasil daripada VVA.

Skuter kecil seperti ini sering menghadapi masalah jarak pergerakan suspensi yang pendek. Ini bukanlah perkara khusus kepada NMAX sahaja, tetapi merupakan satu sifat semula jadi untuk semua skuter seumpamanya. Oleh itu, suspensi belakang terasa keras ketika melalui bonggol tajam, tetapi bahagian hadapan kini terasa jauh lebih baik. Yamaha menyatakan mereka telah menyemak semula kadar redaman (damping rates), justeru ia tidak terasaterlampau keras ketika melanggar bonggol dan lubang. Kemaskini ini juga memberikan rasa yang lebih baik terhadap tayar hadapan dan tingkah lakunya, sekaligus meningkatkan keyakinan kami di selekoh. Bahagian hadapan motosikal ini juga stabil tanpa berolak-olak di selekoh seperti dahulu. Bagus!

Sudah tentu, motosikal ini tidak direka untuk didorong sehingga ke 10/10 had kemampuannya, memandangkan ia menggunakan tayar berdiameter kecil. Melakukan sedemikian bukanlah tujuan memiliki motosikal ini. Sebaliknya, ia direka untuk penungganan mudah dengan tork tambahan untuk memotong kenderaan lain.

Bergantung pada tahap kemahiran anda, tayar standard yang disediakan memberikan cengkaman yang mencukupi dalam cuaca kering dan hujan. Kami tidak berasa sebarang keraguan untuk ‘menghayunkan’ motosikal ini di selekoh yang basah, apatah lagi ketika cuaca cerah.

Penungganan melalui kesesakan trafik adalah ketika NMAX benar-benar bersinar. Saiznya yang kompak dan sudut stereng yang luas bekerjasama untuk melenyapkan trafik dan ruang sempit, sekaligus membuktikan bahawa menunggang motosikal kecil di bandar adalah jauh lebih menyeronokkan.

Hong Leong Yamaha Motor meminjamkan kami Yamaha NMAX (2025) selama 7 hari dan kami menikmati setiap detik menunggangnya. Kami menggunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja, menjalankan urusan harian, dan menghantar anak-anak ke sekolah. Hei, terlupa membeli sesuatu di pasar raya? Hanya perlu mengeluarkan motosikal dan pergi.

Sebagai satu titik tambah, kami tidak berjaya menghabiskan walau satu tangki petrol, walaupun mematikan fungsi ‘idle stop’ sepanjang tempoh ujian kami.

Satu perkara yang perlu kami sebutkan adalah mengenai kualiti binaan motosikal ini, yang baik seperti biasa. Tiada panel yang tidak sejajar atau wayar dan kabel yang terjulur di mana-mana bahagian. Lampu hadapannya juga cukup terang untuk sebuah motosikal bersaiz ini.

Penutup

Kami lega mendapat tahu Yamaha NMAX (2025) meneruskan tradisi model NMAX pertama dengan menyediakan platform yang mudah dan sesuai untuk penungganan santai, sambil mengekalkan keselesaan dan kemudahannya.

Yang perlu diberi perhatian ialah kenaikan harga jualan disyorkannya yang meningkat sebanyak RM1,700 daripada RM9,798 kepada RM11,498. Ini adalah disebabkan oleh kemasukan sistem ABS, tetapi ia adalah sistem dwi-saluran yang berfungsi untuk kedua-dua roda.

Namun, walaupun harganya jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan skuter dalam kelasnya pada masa kini, Yamaha NMAX (2025) ini tetap mewakili nilai yang baik. Anda memperoleh enjin yang telah teruji, disokong oleh bekalan alat ganti yang melimpah – sama adayang tulen, daripada pengeluar asal (OEM), atau pasaran lepas jualan – untuk ketenangan fikiran yang menyeluruh.

Postingan Terkait

Categories

Tags

© CarPress Network. All Rights Reserved. Designed by CarPress